(603) 4280 4022

ask.pantawan@gmail.com

KESUMA ambil alih pengurusan pekerja asing, permohonan kuota sepenuhnya secara digital

Oleh: Aslina Abu Bakar : https://www.buletintv3.my/nasional/kesuma-ambil-alih-pengurusan-pekerja-asing-permohonan-kuota-sepenuhnya-secara-digital/?utm_source=WA-BuletinTV3&utm_medium=social&utm_campaign=WATraffic

KUALA LUMPUR: Pengurusan Pusat Setempat atau One Stop Centre (OSC) bagi pekerja asing akan diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang dipersetujui 1 Julai lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, langkah itu sebahagian daripada inisiatif strategik kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus pengambilan pekerja asing serta memastikan rantaian operasi industri yang memerlukan tenaga kerja tidak terjejas.

Menurutnya, KESUMA akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak terlibat termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat, selain menguruskan segala aspek logistik berkaitan pengoperasian OSC.

Beliau berkata, permohonan kuota pekerja asing selepas ini akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi modul eQuota dalam sistem Foreign Worker Centralized Management System (FWCMS) yang merupakan platform digital tunggal dilantik kerajaan bagi menguruskan urusan pengambilan pekerja asing di Malaysia.

“FWCMS merupakan platform digital tunggal yang dilantik oleh kerajaan bagi menguruskan urusan permohonan pekerja asing di Malaysia. Jadi memang tak ada ‘queue’, tak ada kesesakan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Tambah Ramanan, KESUMA mempunyai kawalan penuh terhadap sistem berkenaan, termasuk kod sumber dan akses pentadbir utama, yang dipegang oleh Ketua Setiausaha Kementerian.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, permohonan kuota dibuka kepada semua negara sumber yang dibenarkan.

“Daripada 15 negara yang disenaraikan, 12 negara aktif ialah Bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Pakistan, Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Laos.

“Manakala Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan dikategorikan sebagai negara yang tidak aktif,” katanya.

Menurut beliau, proses saringan dokumen kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian bagi meningkatkan ketelusan, mengurangkan kesesakan, mempercepatkan tempoh pemprosesan serta menghapuskan keperluan menggunakan sistem giliran atau campur tangan pihak ketiga.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 22,476 permohonan sudah terima melibatkan 548 syarikat.

Katanya, proses kelulusan juga tidak lagi dibuat secara pertimbangan kes demi kes.

Sebaliknya, setiap permohonan akan melalui proses yang ditetapkan, termasuk semakan oleh agensi kawal selia, sesi libat urus dan pertimbangan oleh OSC sebelum keputusan dikeluarkan.